Al-'Ashr

<a href="http://www.clock4blog.eu">clock for blog</a>
Free clock for your blog

Sabtu, 09 September 2006

Lapangkan Diri untuk Beribadat

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman :

" Lapangkanlah dirimu untuk beribadat kepadaKu, nescayalah Aku penuhi dadamu kekayaan dan mengatasi segala kemiskinanmu. Jika engkau tidak buat, maka akan Aku penuhi dadamu urusan dan tidaklah Aku tutupi kemiskinanmu. " (Riwayat Tarmidzi dan Baihaqi)

Huraiannya :
Hadis Qudsi ini mengingatkan kita , bahawa yang menjadikan manusia kaya atau miskin itu ialah Allah s.w.t. Dialah yang mentakdirkan semua itu dengan kudrat dan iradatNya. Memanglah menjadi tabiat semulajadi manusia hendak melihat hidupnya dalam keadaan senang lenang dan memiliki kekayaan yang banyak. Di samping itu ia sentiasa membencikan kemiskinan dan hidup dalam keadaan susah dan melarat. Akan tetapi kekayaan yang hakiki di sisi Tuhan ialah dengan memperbanyak amalan soleh. Sebab rezeki manusia itu memang telah ditetapkan oleh Tuhan tentang sedikit-sebanyaknya, tentang miskin kayanya dan sebagainya.

Lantaran itu, jangan sampai kamu terus-menerus bertungkus-lumus dalam urusan dunia semata, sehingga tidak ada masa lagi untuk beribadat atau beramal soleh. Itu adalah satu kesilapan yang besar! Tetapi hendaklah kamu sentiasa melapangkan masa untuk beribadat, menyembah Tuhan dan bersyukur kepadaNya, kelak kamu akan merasakan kekayaan yang hakiki ynag akan diisikan Tuhan ke dalam dada kamu. Sementara keperluan hidup serta urusan dunia kamu pula akan diberiNya juga secukup-cukupnya, tidak perlu dibimbangkan.

Akan tetapi, jika kamu mengejar terus urusan dunia saja, sedang peribadatan kepada Allah kamu terus lalaikan dan membelakanginya, nescaya Allah akan menambah kamu dengan berbagai-bagai urusan dunia yang baru. Ada-ada saja yang muncul tanpa dijangka atau diduga. Namun hidup kamu terus-menerus begitu juga, sama tiada perubahannya, sentiasa susah, sentiasa serba kekurangan. Manakala kekayaan ynag kamu cita-citakan tak datang-datang juga. Kalau demikianlah halnya, maka akan rugilah kamu di dunia dan di akhirat.

Kesimpulannya :
Betapa banyak sekalipun urusan kita dengan dunia, namun jangan sekali-kali urusan akhirat kita lalaikan atau membelakangkan. Sepatutnya kta selalu melebihkan atau mengutamakan urusan akhirat daripada dunia. Ataupun sekurang-kurangnya, hendaklah kita mencari keuntungan akhirat sekadar mencari keuntungan dunia.