Al-'Ashr

<a href="http://www.clock4blog.eu">clock for blog</a>
Free clock for your blog

Selasa, 19 April 2011

MEMBINA RUMAH TANGGA BAHAGIA

Bagi anda yang bercita-cita untuk membina rumahtangga bahagia dan mendapatkeberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t renungkanlah tips berikut : -

1. Anda perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah.Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah Sunnatullah yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal.
Surah Al-Furqan ayat 74 : "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."

2. Anda perlu menyedari bahawa perkahwinan anda dengan orang yang dikasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha Berkuasa perkahwinan anda tidak mungkin akan terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah yang telah anda lakukan kearahnya. Anda juga perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan anda terletak di tanganNya, dan Allah berhak mengambilnya pada waktu yang dikehendakiNya. Sebagai seorang yang beriman dengan qoda' dan qadar Allah anda hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh anda dengan pasangan berpanjangan sehingga ke akhir hayat.
Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 : "Jika Allah menimpakan satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka dia maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

3. Perkahwinan memunculkan hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan baik oleh suami atau pun isteri. Diantara tanggungjawab suami ialah membayar mas kawin, memberi nafkah zahir dan bathin, mendidik isteri dan anak- anak serta berlaku baik terhadap mereka. Adapun tanggungjawab isteri pula ialah mentaati suami dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syara', memelihara diri dari perkara yang mungkar,menjaga harta suami dan mengurus rumahtangga.

Segala hak dan tanggungjawab ini telah tersebut didalam Al-Qur'an dan sangat bersesuaian dengan tabiat dan fitrah manusia. Anda seharusnya melaksanakan segala tanggung jawab ini bukan hanya untuk menyukakan hati pasangan anda saja, sebaliknya kerana mencari keridhaan Allah s.w.t.

4. Sebagai seorang mukmin , sama ada lelaki dan perempuan mestilah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya.

Firman Allah yang bermaksud : "Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." [Surah At Taubah, 24]

Oleh itu anda mestilah memahami kedudukan anda di sisi pasangan. Anda bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, sesudah ketaatan kepada Allah dan RasulNya, ibubapa berada pada tempat kedua kemudian barulah isteri dan keluarga. Sementara bagi isteri, suami adalah tempat kedua selepas Allah dan RasulNya. Kemudian itu barulah ibubapa. Setelah memahami kedudukan yang ditetapkan oleh Allah, anda seharusnya tolong menolong di antara suami isteri dalam meletakkan hak dan kedudukan ini supaya bersesuaian dengan tempatnya.

5. Anda haruslah ingat bahawa pasangan anda adalah manusia biasa yang tidak terlepas dari kelemahan dan kesilapan. Anda juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan anda melakukan kesilapan, janganlah terlalu diperhitungkan. Sentiasalah saling toleransi dan saling maaf memaafi antara suami dan isteri.

6. Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah menggambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk menghindarkan diri daripada hujan dan panas,begitulah pentingnya anda kepada pasangan anda. Sebagai pakaian anda diperlukan setiap masa oleh pasangan anda untuk menutupi keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Oleh itu anda perlulah menjadikan diri anda sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri dari menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.

7. Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijab qabul bukan saja menjadikan anda suami atau isteri malah mengeratkan dan memperkuat lagi ikatan persaudaraan ini. Oleh karena itu kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga untuk mengeratkan tali silaturrahmi.

8. Anda harus mempunyai etika dipertemuan pertama dengan pasangan anda. Suami hendaklah memberi salam kepada isteri apabila memasuki kamar pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri sambil berdoa dengan maksud :

"Wahai Tuhanku aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan-Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."

Selepas itu pasangan hendaklah sholat sunat dan berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan dan dijauhi dari kejahatan. Dan jika hendak bersama dengan pasangan bacalah doa dengan maksud :
"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau anugerahkan kepada kami."

Perselisihan antara suami isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi sebagaimana lazim disebutkan dalam istilah melayu 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Maka apabila terjadi perselisihan janganlah dibesar besarkan. Kalau suami marah sebaiknya isteri diam dan kalau isteri marah suami pula diam. Tidak perlu pasangan yang dimarahi untuk membela diri kerana pada dasarnya ia tidak tidak akan memberikan akibat yang baik. Walau bagaimanapun pihak yang marah hendaklah melakukan intrispeksi diri apa sebab marah itu muncul yang ditindaklanjuti dengan menyadari kesalahan yang telah dilakukan. Apak pasaganku telah melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak, nasihat yang baik sudah cukup untuk menjernihkan suasana. Hidup saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menciptakan keharmonisan dalam rumah tangga tangga.

Janganlah takut menghadapi cobaan dan ujian kerana rumahtangga yang diuji akan membuatkannya lebih kokoh dan matang jika pasangan bijaksana dalam menghadapi persoalandalam rumah tangga. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala usaha kita dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

By : suan

Tidak ada komentar:

Posting Komentar